Di zaman Nabi, manusia melakukan kesalahan dan diislamkan. Di zaman kita, manusia melakukan khilaf dan dikafir-kafirkan. Sungguh berbeza. Nabi sungguh bersemangat nak orang masuk islam. Alangkah malang ada yang semangat nak keluarkan orang daripada Islam. Di manakah rahmat dan berlapang dada yang diajarkan Nabi?
Masyhur suatu kisah, seorang badwi siap kencing lagi kat masjid. Bukan setakat khilaf, tapi memang kesalahan. Apa jadi kat dia? Ada Nabi kafir-kafirkan?
Dari Anas bin Malik, beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Sahabat Rasulullah menggertaknya, tetapi Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka, mereka (sahabat) membiarkan orang Arab Badwi itu sehingga dia selesai kencing. Selepas itu, Rasulullah memanggil lelaki berkenaan dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk berzikir, solat dan membaca al-Quran.” Selepas itu, Nabi memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.
Baru khilaf kecil sudah menuduh halal darah orang Islam. Tengok amalan orang lain terus tuduh bidaah. Mudahnya. Lapangkanlah dada seperti Imam al-Ghazali yang memandang tinggi darah kaum muslimin, tidak mudah mengeluarkan seseorang daripada syahadah. Sampaikan pertumpahan darah sesama sahabat Nabi pun dianggap suatu khilaf yang masih boleh bersangka baik.
Sesetengah riwayat menukilkan bahawa Saidina Alі mengatakan, “Mangsa korbanku dan mangsa korban Mu‘аwiyah di dalam syurga.” (Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/144)
Petikan daripada Ihya Ulumiddin, bab Iktikad:
“Dan apa yang berlaku di antara Muawiyah dan Ali adalah berdasarkan pendapat masing-masing. Bukannya perebutan Muawiyah ke atas jawatan imamah (khilafah).
Kerana dari sangkaan Ali, tindakan menangkap pembunuh-pembunuh Usman yang mempunyai ramai keluarga serta berhubungan rapat dengan tentera, bakal membawa ketidakstabilan. Dan Ali berpendapat melambatkan penangkapan itu adalah lebih tepat.
Muawiyah pula menyangka, melambatkan urusan penangkapan pembunuh-pembunuh yang melakukan penganiayaan besar itu, pasti menjadi suatu tamparan kepada pemimpin umat dan membiarkan darah tumpah begitu sahaja.”
Lihatlah bagaimana akhlak ulama’ rabbani meraikan perbezaan.
“Tidaklah menjadi kafir seseorang, kecuali setelah diingkarinya apa yang telah diakuinya (diikrarkannya).” (HR Tabrani)
Imam al-Baqilani: “Seseorang tidak dikafirkan kerana perkataan dan pendapatnya. Namun ia dikafirkan jika umat Islam telah berijmak bahawa perkataan dan pendapat itu hanya dapat diucapkan oleh orang kafir, dan terdapat dalil yang kuat atas hal itu.” (Al-Fatawa. Imam Tajuddin al-Subki)
Ibn Hazm: “Yang benar, setiap orang yang telah memiliki ikatan Islam (syahadat), tidak akan keluar darinya melainkan dengan nas atau ijmak, bukan hanya dengan klaim dan tuduhan.” (Al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal)
Imam Abu Fath al-Qusyairi: “Ini adalah ancaman besar bagi orang yang mengkafirkan seorang muslim padahal ia tidak demikian.” (al-Mantsur fi al-Qawaid. Al-Zarkasyi)
Imam al-Ghazali: “Hendaklah tidak mengkafirkan seorang muslim sebisa mungkin. Kerana sesungguhnya menghalalkan darah orang-orang yang solat dan berikrar dengan tauhid adalah kesalahan. Dan salah dalam membiarkan hidup seribu orang kafir lebih ringan daripada salah daripada membunuh satu orang muslim.” (Faisah al-Tafriqah Baina al-Iman wa al-Zindiqah)
Ibnu Wazir al-Yamani: “Tidak boleh berupaya keras untuk memecahbelah umat dengan mengkafirkan mereka berdasarkan dalil-dalil yang bertentangan dengan dalil-dalil yang lebih kuat daripadanya atau sepadan yang menganjurkan persatuan, memperkuat Islam, mencegah pertumpahan darah, dan membuat situasi menjadi kondusif, hingga kekufuran seorang ahli bidaah terlihat terang benderang seperti cahaya fajar, disepakati akan kekufurannya, dianggap perlu untuk dijatuhi vonis kafir.” (Itsar al-Haqq ala al-Khalq)
Zarruq daripada Ibn Furak: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” (Qawa’id al-Tasawwuf)
Lihatlah betapa mudahnya bersangka baik dan betapa susahnya bersangka buruk kepada kaum muslimin dari mata ulama’ rabbani. Mana yang lebih disukai Nabi? Manusia ramai menjadi muslim ataupun ramai jadi kafir? Satu-satunya makhluk yang gemar manusia keluar Islam adalah syaitan. Oleh itu, jauhilah perangai syaitan yang gemar manusia menjadi kafir.
Rasulullah ﷺ bersabda; “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.” (HR Bukhari (6104) dan Muslim (111).
RUJUKAN:
- Dr Usamah Sayyid al-Azhari. Islam Radikal (terjemahan Haqqul Mubin). Dar al-Faqih.
- Ihya Ulumiddin. Imam al-Ghazali.
- Rasulullah tegas tetapi penyayang. Rasulullah tegas tetapi penyayang | Harian Metro (hmetro.com.my)
- TASHIH AL-MAFAHIM #3: KAFIR MENGKAFIR KERANA BERBEZA PENDAPAT. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – TASHIH AL-MAFAHIM #3: KAFIR MENGKAFIR KERANA BERBEZA PENDAPAT (muftiwp.gov.my)
- #UWA | MENJAWAB PERSOALAN MAULANA FAKHRURRAZI | USTAZ WADI ANNUAR. (358) #UWA | MENJAWAB PERSOALAN MAULANA FAKHRURRAZI | USTAZ WADI ANNUAR – YouTube
- Ustaz Wadi Annuar – Bahaya Wahabi Yang Kini Kononnya ‘Salafi’. (358) Ustaz Wadi Annuar – Bahaya Wahabi Yang Kini Kononnya ‘Salafi’ – YouTube
from mdnursyazwi https://ift.tt/2J2n55I
via http://www.rssmix.com/
from Tumblr https://dearluce.tumblr.com/post/637913462613442560
No comments:
Post a Comment