Friday, December 25, 2020

Perayaan Pagan Rom: Asal Usul Sambutan Krismas

Beberapa hari saja lagi penganut Kristian bakal menyambut sambutan Krismas. Tetapi tidak ramai tahu asal-usul perayaan ini ada kaitan dengan sebuah perayaan pagan yang diraikan dengan meriah pada era Rom. Perayaan yang dimaksudkan ialah Saturnalia.

Jadi, bagaimana Saturnalia menjadi hari perayaan rasmi orang Rom ketika itu? Menurut Dr Carey Fleiner dari Universiti Winchester, Saturnalia sebenarnya gabungan tiga sambutan keraian musim sejuk selama beberapa abad. Pertama, sudah tentu Saturnalia yang dijadikan sebagai hari meraikan Saturn[1] dan selalunya diadakan pada setiap 17 Disember.

Rajah 1: Dewa Saturn

Tetapi tarikh tersebut kemudiannya diberi kepada Ops/Opis, satu hari keraian yang didedikasikan kepada isteri Saturn merangkap adiknya sendiri. Dalam mitologi masyarakat Rom, Opalia merupakan dewi kekayaan dan buah-buahan di bumi. Oleh kerana kedua-dua keraian Saturn (langit) dan Ops/Opis (bumi) saling berkait, kedua-dua keraian digabungkan menurut sejarawan Rom Macrobius.

Rajah 2: Patung isteri Augustus, Livia memakai kostum Ops/Opis.

Keraian ketiga pada musim sejuk ialah meraikan solstis musim sejuk pada hari yang dipanggil Brumalia. Brumalia selalu diraikan pada hari solstis sama ada pada 21 atau 22 Disember. Ketiga-tiga perayaan ini kemudiannya digabungkan sebagai sambutan keraian selama seminggu dari 17 hingga 23 Disember.

Bagaimanapun, tempoh sambutan dipendekkan kepada tiga hari semasa era anak saudara Julius Caesar, Maharaja Augustus[2]. Augustus berbuat demikian kerana tempoh hari keraian Saturnalia dilihat memberi kesan kepada tempoh hari bekerja rakyat pada ketika itu.

Berbeza pula dengan Maharaja Caligula[3]. Walaupun dianggap gila oleh golongan bangsawan dan hartawan Rom, baginda sentiasa dijulang sebagai wira oleh rakyat biasa kerana melaksanakan polisi pro-rakyat. Antara polisi baginda yang disukai mereka ialah memanjangkan tempoh sambutan Saturnalia kepada lima hari. Menjelang abad kelima Masihi, sambutan diadakan selama dua minggu.

Bagi menandakan sambutan Saturnalia, seorang raja dipilih sebagai Saturnalicius princeps atau pemimpin Saturnalia. Selalunya yang dipilih ialah orang yang berada pada kedudukan terbawah dalam sesebuah isi rumah dan mereka diberi hak melakukan gurauan-gurauan nakal pada hari tersebut.

Pada hari itu, orde sosial Rom berubah seketika untuk satu hari – misalnya hamba dilayan atau makan bersama pemilik mereka, orang dewasa melayan kanak-kanak dan hamba dibenarkan berjudi. Bagi golongan bangsawan pula, mereka memakai pakaian berwarna-warni yang dipanggil sintesis. Sintesis bermaksud dipakai bersama dan pada hari itu, mereka akan memakai apa jenis pakaian yang dimahukan.

Semasa Saturnalia, orang Rom turut memakai sejenis topi yang dipanggil pilleum. Pilleum atau topi kebebasan selalunya dipakai oleh hamba apabila mereka dimerdekakan oleh tuan mereka. Tetapi untuk keraian Saturnalia, ia dianggap simbol kebebasan bahawa mereka boleh melakukan apa yang mereka suka pada hari itu.

Kebiasaannya, penduduk Rom akan berpesta di rumah mereka. Tetapi sambutan keraian Saturnalia yang terbesar selalunya dibuat di Kuil Saturn. Apabila penduduk Rom berkumpul di jalanan, mereka akan mengucapkan kata-kata sambutan ini sesama mereka, “Io Saturnalia!”

Rajah 3: Runtuhan Kuil Saturn di Rom, Itali.

Dalam setiap jamuan mereka, sebuah patung kecil dewa Saturn akan diletakkan di situ sebagai tanda dewa pertanian Rom itu ada semasa sambutan. Sepanjang tahun, kali patung Saturn di Kuil Saturn akan diikat dengan tali kapas. Tetapi semasa Saturnalia, tali tersebut dilonggarkan sebagai simbol kebebasan untuk orang Rom melakukan apa saja pada hari itu.

Walaupun Saturnalia dianggap hari bersuka ria oleh orang Rom, bukan semua orang menyukainya. Filsuf dan penulis Rom Seneca menyifatkan orang yang meraikan Saturnalia sebagai tidak terkawal. Sementara Pliny Si Muda[4] (nama sebenar Gaius Caecilius Cilo) menyatakan lebih suka berada di bilik bacaannya daripada bersama isi rumah yang meraikan perayaan tersebut.

Apabila agama Kristian diangkat sebagai agama rasmi Rom oleh Constantine I, pihak berkuasa ketika itu juga menolak sekeras-kerasnya sambutan Saturnalia. Pada lewat abad keempat, mazhab-mazhab Kristian[5] masih bertelagah tentang tarikh kelahiran Nabi Isa a.s. Tidak seperti orang Rom yang beragama pagan, agama Kristian tidak memberi keutamaan kepada tarikh kelahiran seseorang dan satu-satunya tarikh yang dianggap penting ialah sambutan Easter.

Akhirnya, mereka bersetuju menetapkan 25 Disember sebagai tarikh kelahiran baginda. Bagi mereka, hari itu ialah hari keagamaan dan bukan hari bersuka ria seperti sambutan Saturnalia sebelumnya. Pada hari itu juga, semua aktiviti yang biasa dilakukan semasa Saturnalia seperti berjudi, minum arak dan menyembah dewa pagan dilarang sama sekali.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang orang Rom ketika itu daripada menyambutnya secara rahsia. Menjelang abad kelapan Masihi, masih wujud rungutan dalam kalangan pihak gereja tentang kecenderungan orang ramai menyambut Saturnalia atau mana-mana keraian musim sejuk yang ada kaitan dengan dewa-dewi pagan.

NOTA KAKI:

[1] Dewa pertanian bagi orang Rom. Dewa Kronos mempunyai tugas sama dengan Saturn dalam mitologi masyarakat Yunani.

[2] Maharaja Rom yang pertama dari 27 SM hingga 14 Masihi. Pelbagai reformasi yang diperkenalkan baginda pada ketika itu menjadi batu asas kepada kemakmuran dan keamanan Rom yang dikenali sebagai Pax Romana.

[3] Maharaja ketiga Rom dengan nama sebenarnya ialah  Gaius Caesar Augustus Germanicus. Caligula ialah nama timangannya yang bermaksud kasut kecil yang diberi oleh askar-askar Rom yang berkhidmat di bawah ayahandanya, Germanicus. Memerintah dari 37-41 Masihi sebelum dibunuh oleh kumpulan Pengawal Praetor diketuai Cassius Chaerea hasil konspirasi golongan atasan yang tidak menyukai baginda.

[4] Peguam, majistret dan penulis era Rom.

[5] Majlis Nicaea ialah majlis di mana mazhab-mazhab Kristian berkumpul dan bermesyuarat dengan tujuan menyeragamkan semua aspek agama Kristian. Majlis dipanggil buat kali pertama pada tahun 325 Masihi semasa era Constantine I. Perjumpaan ini merupakan yang pertama dari tujuh siri mesyuarat membabitkan gereja-gereja Kristian. Mesyuarat terakhir diadakan di Nicaea pada 787 Masihi untuk menangani isu-isu berbangkit yang masih timbul dalam mesyuarat majlis sebelumnya.

RUJUKAN:

Fleiner, C. (2013). Saturnalia: the origins of the debauched Roman ‘Christmas’. History Extra.

Cartwright, M. (2016). Saturnalia. Ancient History Encyclopedia.





from mdnursyazwi https://ift.tt/2M8Vz7V
via http://www.rssmix.com/
from Tumblr https://dearluce.tumblr.com/post/638472164674256896

No comments:

Post a Comment