Friday, December 25, 2020

Asal Usul Seorang Santa Claus – Sejarah Dan Mitos

Menurut catatan dari Wikipedia, karakter dan budaya Santa Claus dalam sambutan perayaan Krismas dianggap sebagai salah satu amalan sekularisme yang diterima oleh masyarakat Kristian hari ini (lebih kurang macam amalan memberi duit raya semasa perayaan Aidilfitri) sebagai salah satu budaya dalam sambutan perayaan Krismas, dan budaya pemberian hadiah oleh Santa Claus ini dikatakan bermula dengan gabungan karakter seorang tokoh paderi Ortodoks Yunani bernama Saint Nicholas dengan kisah-kisah mitos Nordic.

Di tempat berbeza ia dikenali sebagai karakter tokoh yang berbeza seperti menurut budaya Inggeris, Santa Claus berasal dari Father Christmas, dan di Belanda dikenali sebagai Sinterklaas (juga berdasarkan Saint Nicholas).

Seperti tokoh pemberian hadiah lain untuk musim sebegini, Santa Claus juga menyerap unsur-unsur dewa Jermanik bernama Wodan, yang dikaitkan dengan peristiwa pagan Yule pada pertengahan musim sejuk iaitu peristiwa Wild Hunt yang dilakukan di atas ‘langit’.

Tetapi persoalan yang paling utama yang mungkin sering ditanya oleh mereka yang menyambut perayaan ini menurut pemikiran sejarah tentang Father Christmas: Siapakah Saint Nicholas yang sebenarnya, dan bagaimana dia boleh dikaitkan dengan perayaan Krismas?

Konsep Krismas yang melibatkan tokoh suci atau ‘Saint’ pemberi hadiah dianggap bermula dengan lagenda Saint Nicholas, yang dikatakan sebagai seorang paderi berpangkat biskop pada abad ke-4 di kota Myra, Lycia Yunani (sekarang kota Demre di provinsi Antalya, Turki). Hari Saint Nicholas ditanda sebagai hari sambutan setiap tahun oleh kebanyakan penganut Kristian pada 6 Disember.

Sinterklaas di Belanda

Namun, menurut Judith Flanders, pengarang Christmas: a Biography, indivindu tersebut hampir pasti merupakan rekaan semata-mata, kerana tidak ada dokumen sejarah yang boleh dipercayai bagi membuktikan kewujudannya. Apa yang ada untuk pakar-pakar rungkaikan hanyalah penulisan, seperti catatan buku nota, yang menjelaskan apa yang orang percaya tentang dirinya.

Sejarawan tahu bahawa Saint Nicholas memegang reputasi atas sikap kemurahan hatinya semenjak berabad yang lalu. Contohnya, buku The Golden Legend, yang diterbitkan oleh seorang anggota gereja Genoa sekitar tahun 1260, mendakwa bahawa St. Nicholas menyeludup tiga guni emas melalui tingkap rumah seorang lelaki Kristian yang ‘alim’ tetapi miskin sehingga lelaki itu mampu menebus mahar untuk ketiga-tiga anak perempuannya agar mereka tidak perlu lagi dijual untuk dijadikan pelacvr.

Ketika legenda St. Nicholas berkembang, reputasinya itu terpecah menjadi kisah-kisah rakyat di beberapa bahagian berbeza. Di beberapa bahagian Eropah abad ke-16 dan ke-17, St. Nicholas digambarkan sebagai seseorang yang suka menghadiahkan epal, kekacang dan makanan yang dipanggang, dan dijadikan simbol hasil tuaian yang melimpah ruah.

Di Belanda, Hari St. Nicholas adalah hari di mana seseorang yang berpakaian seperti ‘saint’ akan pergi dari rumah ke rumah bersama dengan seorang hamba, sama ada untuk memberi hadiah ganjaran atau hadiah berbentuk pengajaran/hvkuman terhadap kanak-kanak bergantung kepada budi mahupun dosa yang telah mereka lakukan.

Kanak-kanak yang baik kebiasaannya akan menerima hadiah yang dimaksudkan seperti karung emas, sementara yang j4hat akan menerima ketulan arang batu.

Di Perancis dan Inggeris, buku menjadi hadiah pilihan kerana budaya itu berkembang di saat masyarakat Eropah mula menyedari kepentingan untuk celik huruf. Secara beransur-ansur, perhiasan kecil, wain, alat permainan, dan makanan mewah turut sama menjadi hadiah pilihan.

Tetapi bagaimana Saint Nicholas datang ke Amerika Utara dan akhirnya menjadi Santa Claus adalah sangat misteri. Terdapat dua rujukan kecil untuk Santa Claus dalam satu artikel New-York Gazetteer tulisan James Rivington pada tahun 1770-an, salah satunya merujuk kepada frasa “St. Nicholas, otherwise called Santa Claus.” (St. Nicholas, atau disebut sebagai Santa Claus).

25 Disember merupakan tarikh yang sering dinantikan kanak-kanak Kristian setiap tahun

Ia sekaligus telah menolak dan membatalkan teori sebelum itu bahawa penulis Washington Irving adalah orang yang mencipta istilah “Santa Claus,” ini kerana Irving dilahirkan pada tahun 1783. Dan kemudian nama atau perkataan itu gagal ditemui dalam bentuk cetakan selama beberapa dekad.

Namun, Irving dianggap layak menerima kredit di atas jasanya mempromosikan “kisah mitologi silam Belanda” tentang Saint Nicholas yang baik hati. Dalam karya satira sejarahnya pada awal abad ke-19 di New York, iaitu Knickerbocker’s History of New York, dia mendakwa bahawa meraikan tokoh suci itu adalah amalan tradisi lama Belanda di awal New Amsterdam.

Dia meletakkan kedudukan St. Nicholas sebagai satu simbol cara hidup yang lebih sederhana dan lebih baik bertentangan dengan bandar New York yang kian membangun dan lebih sibuk pada awal tahun 1800-an. Versi awalnya mengenai sejarah New York adalah dianggap sebagai tidak tepat.

Dia menyebut sebuah gereja yang dinamakan bersempena nama St. Nicholas, sedangkan pada hakikatnya New York tidak menerima gereja pertamanya dengan nama itu hingga abad ke-20, dan merungkai kenyataan bahawa Gereja Reformasi Belanda New Amsterdam sebenarnya melarang tokoh-tokoh suci dikaitkan dalam ketaatan beragama.

“Apabila buku itu muncul, semua orang tahu ia hanyalah satira, tetapi ia sangat cepat dilupakan,” kata Flanders, “dan ia mula dianggap sebagai sejarah.”

Jadi apa yang sebenarnya berlaku?  Sekiranya ada pihak yang membawa nama Santa Claus ke Amerika, Flanders mengatakan kredit mungkin harus diberikan kepada kira-kira 25,000 orang Switzerland yang menetap di kawasan tumpuan besar di New York, North Carolina dan Pennsylvania.

Mereka berasal dari wilayah yang bermulanya penandaan Hari Saint Nicholas, dan nama St. Nicholas muncul dalam pelbagai dialek berbeza, samada dialek Schweizerdeutsch, atau Swiss-Jerman, sebutannya akan menjadi Samichlaus atau Santi-Chlaus, keduanya kedengaran lebih mirip dengan nama Santa Claus berbanding yang kononnya merupakan kata serapan Belanda dari nama Sint Niklaas.

Seorang lelaki berpakaian sebagai Santa Claus untuk mengumpul dana bagi Sukarelawan Amerika di tepi jalan di Chicago, Illinois, pada tahun 1902

Idea tentang Saint Nicholas sebagai orang yang selalu turun dan naik melalui cerobong asap rumah orang untuk menyampaikan hadiah adalah lebih mudah dikesan.

Puisi Clement Clarke Moore tahun 1822 yang berjudul “A Visit from St. Nicholas”  yang terkenal dengan bait permulaan “Twas the night before Christmas“ lah yang telah mencipta gambaran yang tidak dapat dilupakan itu. Oleh kerana arus revolusi industri menjadikan harga barangan lebih berpatutan untuk dimiliki setiap golongan, gambaran popular Santa Claus versi ‘panjat rumah orang’ juga kian meningkat, ia dirai bersama dengan tradisi kad ucapan Krismas dan pokok Krismas.

Menjelang berakhirnya abad tersebut, perayaan hari Krismas disambut sebagai hari cuti persekutuan di Amerika Syarikat. Adat dan budaya Krismas mendorong rasa kemasyarakatan dan perpaduan pada saat perkembangan urbanisasi, perindustrian dan kenangan Per4ng Saudara sebelum itu telah membuat ramai orang merasa tidak tenteram.

Bahkan, tahu tak? Label minuman bergas yang popular iaitu Coca-Cola pernah didakwa sebagai pihak yang bertanggungjawab mencipta imej Santa Claus hari ini berikutan imej warna korporat merah putih yang digunakan mereka. Perbahasan tentang Coke mencipta imej moden Santa dalam warna merah putih sebagai imej korporat telah kembali menjadi isu mitos yang hangat di bandar Virginia dalam beberapa tahun lepas. Namun ia dinafikan oleh penjaga arkib Coca-Cola, Phil Mooney.

Dia lebih menyokong pendapat bahawa imej Santa Claus yang berpakaian warna merah sebenarnya berasal dari tahun 1800-an, ketika pelukis Thomas Nast menggambarkannya seperti itu di dalam akhbar Harper’s Weekly, dan apabila kad ucapan Krismas Amerika yang pertama menunjukkannya dengan warna merah. Kononnya, warna asal seorang Santa Claus ialah hijau.

Ternyata, kerana isu ini, Coca Cola dan Santa Claus yang berpakaian warna merah juga telah dijadikan makanan golongan teori konspirasi dengan tidak semena-mena di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun tanggapan umum, Coca-Cola tetap dianggap sebagai pencetus kepada imej Santa Claus yang sinonim dengan warna merah putih hari walau sekuat mana jua mereka menafikannya. Penafian hanya dilakukan bagi menghormati tradisi jika menurut kenyataan Mooney.

Imej hijau yang kononnya dikaitkan dengan Santa Claus.
Salah satu iklan komersial Coca Cola sempena perayaan Krismas

Tetapi, kekurangan sumber dan pengetahuan tentang kewujudan sebenar sosok tubuh bernama Saint Nicholas tidak perlu dijadikan punca yang merosakkan hari cuti dan musim perayaan anda, hikmahnya, kerana kekurangan itulah yang menyebabkan kajian diteruskan lalu membolehkan tafsiran mengenainya terus berkembang.

Hari ini, Saint Nicholas telah dianggap sebagai sesiapa sahaja yang diinginkan oleh orang lain, tetapi untuk melengkapkan artikel ini, penulis sertakanlah serba sedikit maklumat yang penulis perolehi mengenai tokoh tersebut.

Saint Nicholas of Myra adalah seorang paderi berpangkat biskop Kristian Yunani Myra abad ke-4 di Lycia, semasa zaman Empayar Rom Byzantine. Myra merupakan sebuah pekan yang kini dikenali sebagai pekan Demre, Lycia pula kini sebuah provinsi yang bernama Antalya. Demre ni pekan yang duduk dalam provinsi Antalya di Turki sekarang.

Nicholas adalah seorang yang warak dalam agamanya sejak kecil dan menumpukan kehidupan dia sepenuhnya diabdikan terhadap agama Kristian. Di benua Eropah (lebih tepatnya Belanda, Belgium, Austria, Republik Czech dan Jerman) dia biasanya digambarkan sebagai seorang biskop berjanggut putih dengan jubah kanonik.

Saint Nicholas

Saint Nicholas dianggap sebagai pelindung kepada para pelaut, pedagang, pem4nah, pencuri yang bertaubat, pelacvr, anak-anak, pembuat bir, penggadai, orang yang belum berkahwin, dan pelajar di beberapa bandar dan negara di seluruh Eropah.

Reputasinya menyerlah dikalangan golongan Kristian yang ‘beriman’, hingga kedudukannya diangkat ke tahap yang tinggi sebagaimana para pendeta yang dimuliakan ke tahap ‘santo’ pada awal Kristianiti.

Tabiat Nicholas yang sering memberikan hadiah secara rahsia kepada kanak-kanak menjadikan dia sebagai model tradisional untuk Santa Claus atau Saint Nick melalui pengenalan terawalnya menurut mitologi Belanda, sebagai “Sinterklaas”.

Patutlah orang Turki selalu klaim yang Santa Claus berasal dari Turki kan? Masalahnya, Saint Nicholas bukan berasal dari Turki, dia keturunan Yunani tapi lahir di Itali.

Walaubagaimanapun, sempena musim perayaan Krismas yang bakal menjelang tiba ini, penulis ingin mengucapkan selamat merayakan Perayaan Krismas buat semua pembaca dan rakan-rakan yang beragama Kristian. Semoga kita semua tidak lupa untuk mematuhi SOP memandangkan kita masih berada dalam suasana w4bak Covid-19 yang tidak selesa lagi.

RUJUKAN:

Flanders, Judith. (2017). Christmas: a Biography. Thomas Dunne Books.

Coke denies claims it bottled familiar Santa image, Jim Auchmutey, Rocky Mountain News, 10 December 2007

William J. Federer (2002). There Really Is a Santa Claus: The History of St. Nicholas & Christmas Holiday Traditions. Amerisearch, Inc





from mdnursyazwi https://ift.tt/34IHdBy
via http://www.rssmix.com/
from Tumblr https://dearluce.tumblr.com/post/638472163419095040

No comments:

Post a Comment