Saturday, December 26, 2020

5 Jenama Luar Yang Disangka Berasal Dari Malaysia

Terdapat beberapa jenama luar yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia sehingga ianya dianggap berakar umbi daripada negara kita. Bukan itu sahaja, nama serta produk yang ditawarkan juga sangat dekat dengan rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun tahukah anda, terdapat beberapa jenama luar yang dianggap berasal daripada Malaysia. Apakah jenama-jenama tersebut?

1. Ayam Brand

Mendengar sahaja nama Ayam Brand pasti ramai yang beranggapan bahawa jenama ini berasal daripada Malaysia. Hal ini mungkin berpunca daripada penggunaan perkataan ‘ayam’ yang digunakan sebagai pangkal nama.

Buat pengetahuan anda semua, Ayam Brand digagaskan pada tahun 1892 di Singapura oleh seorang warganegara Perancis iaitu Alfred Clouet.

Ketika itu, Ayam Brand hanya membekalkan makanan kepada pekerja-pekerja koloni sahaja. Hal ini demikian kerana makanan dalam tin dianggap sebagai makanan kayangan yang sukar dibeli oleh rakyat marhaen.

Hari ini, Ayam Brand dimiliki oleh Denis Group yang berpangkalan di Singapura dan memiliki beberapa kilang di Malaysia.

Ayam Brand juga merupakan membekal utama makanan dalam tin di sekitar Asia merangkumi Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia dan Hong Kong. Senang cerita, Ayam Brand adalah jenama milik Singapura.

2. Milo

Milo merupakan jenama minuman berasaska coklat yang sangat dikenali dan disayangi oleh rakyat Malaysia. Ramai diantara kita pastinya teringat kembali nostalgia lori Milo yang selalu hadir ke sekolah memberi secawan air kegembiraan.

Walau bagaimanapun, Milo bukanlah jenama yang berasal daripada Malaysia. Malahan, air minuman ini boleh didapati secara mudah diseluruh dunia cuma rasanya yang sedikit berbeza.

Tahukah anda, Milo diasaskan ketika The Great Depression sedang melanda dunia dimana kanak-kanak menderita kehilangan zat akibat kekurangan makanan.

Hal ini telah memberi rausyanfikir kepada Thomas Mayne iaitu seorang saintis makanan Nestle Australia untuk menghasilkan minuman malt coklat untuk meningkatkan tenaga kanak-kanak.

Nama Milo pula diilhamkan daripada seorang atlet gustri Greek yang terkenal iaitu Milo of Croton.

Hari ini, Milo telah menjadi sebahagian daripada sejarah rakyat Malaysia sejak 60 tahun yang lalu. Malahan ramai atlet kebangsaan yang bermula daripada program sukan yang dianjurkan oleh Milo.

Jadi tidak pelik apabila jenama ini dianggap sebagai milik Malaysia walaupun digagaskan di Australia.

3. Maggi

Maggi sangat sinonim dengan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang bergelar pelajar dan mahasiswa. Hal ini demikian kerana harganya yang murah memang menjadi pilihan pelajar untuk dinikmati apabila kantung kewangan mereka semakin menipis.

Kepelbagaian perisa juga sangat menarik perhatian seperti Kari, Ayam, Tom Yam, Asam Laksa dan Sup Tulang. Hal ini terus melahirkan tanggapan bahawa jenama ini berakar umbi dari Malaysia.

Salah tanggapan tersebut kerana Maggi merupakan sebuah jenama yang digagaskan di Switzerland oleh Julius Maggi pada tahun 1887.

Tujuan Maggi diasaskan pada asalnya adalah untuk membekal makanan berkhasiat yang murah kepada golongan pekerja ketika tercetusnya revolusi perindustrian.

Sejak daripada itu, Maggi terus mendapat permintaan yang tinggi sehinggalah diilhakan oleh Nestle pada 1947.

Nestle terus memegang aspirasi Julius Maggi untuk menghasilkan produk berkhasiat yang cukup murah. Hasilnya hari ini, produk Maggi sangat mudah didapati sehingga dianggap milik Malaysia.

4. Bata

Pasti ramai yang beranggapan Bata adalah jenama milik Malaysia malahan kita juga mesti pernah memiliki kasut bata.

Hal ini telah menyebabkan ramai beranggapan memakai bata adalah tidak mengikut trend. Perkara seumpama ini juga menjangkiti pelajar sekolah apabila mereka lebih gemar memakai Converse berbanding Bata.

Buat pengetahuan anda semua, Bata telah digagaskan oleh tiga orang saudara iaitu Anna, Thomas dan Antonin melalui pembinaan kilang kasut di Zlin, Czechoslovakia.

Dalam tempoh masa beberapa dekad, Bata berjaya menjadi salah satu pengedar kasut yang ikonik di Eropah.

Hari ini, Bata berjaya memiliki 5000 cawangan di lebih 70 negara termasuklah Malaysia. Malahan Bata juga menjadi pilihan beberapa figura penting seperti selebriti dan juga tokoh politik.

5. Pilot

Ketika zaman sekolah dahulu, memiliki shaker berjenama Pilot adalah impian hampir setiap murid terutamanya lekaki. Siapa yang memiliki shaker pada ketika itu boleh dianggap sebagai golongan kayangan lantaran harganya agak mahal.

Malahan sang pemiliki shaker juga memiliki risiko yang tinggi untuk kehilangan barangan tersebut jika lalai dalam menjaganya. Hal itu telah membuatkan ramai beranggapan Pilot merupakan jenama yang berasal daripada Malaysia.

Salah tanggapan tersebut kerana Pilot merupakan jenama yang digagaskan di Jepun oleh Ryosuke Namiki dan Masao Wada pada tahun 1918.

Bermula sejak itu, Pilot dianggap sebagai pelopor kepada penghasilan alatan untuk penulisan. Hari ini, Pilot telah digunakan oleh seantero dunia terutamanya di Jerman, Perancis dan United Kingdom.

Artikel boleh juga dibaca di laman portal kewangan dan ekonomi kami iaitu The Outlook.





from mdnursyazwi https://ift.tt/3nPD8Tv
via http://www.rssmix.com/
from Tumblr https://dearluce.tumblr.com/post/638577872740745216

No comments:

Post a Comment