Wednesday, December 16, 2020

Kebijaksanaan Melayu Terserlah Melalui Pantun

Pantun warisan yang masyhur mengandungi pelbagai bukti kepintaran silam. Antaranya ialah menyampaikan pembayang maksud dahulu sebelum menyampaikan maksud hakiki.
Dalam pantun empat kerat, rangkap pertama dan ketiga serta rangkap kedua dan keempat tidak hanya memiliki ritma yang sama, malah dua rangkap awal tersebut menjadi pembayang kepada maksud dua rangkap yang akhir.

Sebagai contoh:

1) Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

* Berakit ke hulu adalah satu pekerjaan yang susah dan sakit kerana perlu melawan arus sungai. Sedangkan berenang ke tepian itu mudah dalam sungai yang berarus.

2) Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

* Dalam tradisi pelayaran Melayu Riau, Pulau Pandan itu kecil, terbiar dan kedudukan memang sangat jauh. Ia terletak di tengah-tengah antara Pulau Natuna dan Vietnam. Pulau ini sifatnya seperti jasad yang dikandung tanah iaitu dilupakan dan diabaikan.

Sedangkan Gunung Daik itu sering diingati kerana jasanya menjadi petunjuk bagi pelayar-pelayar. Tambahan pula Pulau Lingga di mana tempat Gunung Daik berada menjadi pusat pemerintahan kerajaan Riau-Lingga, sudah pasti jasanya sering diingati oleh para pelayar.

3) Buah cempedak diluar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Hamba budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

* Dalam tradisi Melayu silam, memagar tanaman bukan sahaja untuk lindungi dari musuh tanaman, tetapi ia menjadi bukti pemilikan tanaman. Hal ini tergambar dari peruntukan dalam kanun perundangan Melayu.

Mengambil buah cempedak diluar pagar adalah perbuatan kanak-kanak yang tidak tahu tentang hak dan adab.

Manakala menjolok buah cempedak dengan galah adalah tanda orang yang perlu diajar memandangkan buah cempedak itu tumbuhnya rendah. Ia hanya perlu dipetik atau dipulas.

Banyak lagi contoh pantun lain. Kesimpulannya, membuat pantun itu ada seninya dan seninya itu melambangkan kepintaran orang-orang dulu. Atas kepintaran dan kesenian tersebut, pantun-pantun ini menjadi masyhur dan diwarisi zaman berzaman.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam





from mdnursyazwi https://ift.tt/37mUVLX
via http://www.rssmix.com/
from Tumblr https://dearluce.tumblr.com/post/637671906845360128

No comments:

Post a Comment