Sunday, December 20, 2020

Asal Usul Perkataan Viking

Sebelum orang Viking menj4rah sebahagian Eropah, mereka adalah Norseman atau orang Norse yang tinggal di tanah Scandinavia (Finland, Sweden, dan Norway) dan mengamalkan bahasa Norse Lama, moyang kepada bahasa-bahasa Jerman Scandinavia.

Nama Norseman sebenarnya hasil dari nama ‘Northman’ (orang utara) yang di-dialek-kan oleh orang Norse sendiri pada fasa pertengahan Eropah. Apabila orang Eropah ketika itu memanggil mereka yang menetap di utara sebagai Northman, orang utara sendiri menggelar mereka sebagai Norseman.

Dalam bahasa Perancis (Frankish) Lama, nama Nortmann (Northman dalam dialek Perancis) telah di-Latin-kan kepada Normannus, kemudian nama ini banyak digunakan dalam teks-teks bahasa Latin. Nama Normannus dievolusikan lagi menjadi Normand, seterusnya kepada Norman dan Normandy. Maka, pada abad ke-10 Masihi, orang English ketika itu memanggil Norseman sebagai Norman atau Normandy.

Kembali kepada nama Viking, terdapat banyak teori berkenaan asal-usul nama ini. Pertama, Viking berasal dari kata ‘vík’, bermaksud anak sungai dan teluk kecil. Teori kedua agak popular iaitu nama Viking berasal dari nama daerah kuno di Norway ketika berlaku era penj4rahan Viking, iaitu Víkin (sebut Viken).

Namun teori kedua adalah masalahnya. Orang yang menetap di Víkin tidak memanggil komuniti mereka sebagai Viking tapi memanggil mereka sebagai Víkverir (penghuni Vík). Maka, teori kedua ini tertolak.

Dalam bilang etimologi (mengkaji asal-usul kata), Viking berasal dari kata ‘vika’ dari bahasa Norse Lama yang bermaksud jarak batu di lautan. Secara linguistik, teori ini ada betulnya kerana orang Norse dari utara dan barat Eropah kerap menggunakan kata ini untuk urusan pelayaran.

Kata Witsing atau Wīsing (dari kata vika) juga kerap digunakan oleh orang Norse dari utara dan barat Eropah ini. Dalam bahasa Norse Lama, ada dua buah kata merujuk kepada orang Norse yang berlayar: víking dan víkingr. Maksud víking adalah pelayaran laut jarak jauh menggunakan pendayung. Víkingr pula merujuk kepada mereka yang melakukan pelayaran laut tersebut.

Dari sini kita tahu bahawa kata Viking tidak bermaksud orang pelaut Eropah Utara. Ia wujud saat orang Norse mula menjinak-jinakkan lautan dan memulakan kembara berlayar mereka pada akhir abad ke-8 Masihi.

Dalam bahasa Inggeris Lama, kata wicing (sama bunyi dengan viking) pertama kali digunakan dalam puisi Anglo-Saxon bernama Widsith. Menurut orang Inggeris, wicing bermaksud lanun atau penyamun dari Scandinavia.

Terdapat teori oleh penghuni Iceland bernama Örnolfur Kristjansson, di mana ketika menyelidik Widsith, dia menyimpulkan kata Viking berasal dari ‘wicinga cynn’, bermaksud penduduk atau puak yang menetap di kota Jórvík (York).

Selain orang Inggeris, terdapat bangsa lain juga mempunyai gelaran tersendiri mereka beri kepada orang Viking ini.

Seperti kaum Jerman, mereka menggelarnya sebagai Ascomanni bermaksud mereka yang menggunakan bot diperbuat dari kayu pokok Ash. Orang Irish pula memanggil orang Viking sebagai Dubgail dan Finngail (orang asing yang gelap dan indah). Nama Dane diberi oleh puak Anglo-Saxon yang menj4rah kepulauan British. Orang Frank (Perancis) juga menggelar dengan nama Northmen.

Manakala orang Slav (kaum dari Eropah Tengah) dan Byzantine menggelar orang Viking sebagai Varangia yang bermaksud orang yang patuh akan janjinya. Dalam ketenteraan Byzantine, terdapat pertubuhan pengawal bernama Varangian Guard yang terdiri dari askar-askar Scandinavia. Pertubuhan ini wujud atas dasar hubungan dagangan baik antara Byzantine dengan kerajaan Rus’ yang mempunyai hubungan darah dengan orang Viking.

Pada tahun 844, orang Viking menj4rah kota Seville yang sebahagian dari kerajaan Umayyah Andalusia. Orang muslim Andalusia menggelarkan mereka dengan gelaran Magia atau Al-Majus kerana orang Viking ketika itu mengamalkan ajaran Zoroaster atau Majusi.

Kata Viking seterusnya berkembang dan diperkenalkan dalam bahasa Inggeris Moden pada abad ke-18 Masihi. Pada abad tersebut, maksud Viking bukan saja tertakluk kepada lanun Scandinavia dan kawasan utara Eropah lain, namun ia merujuk juga kepada budaya yang diasaskan oleh penj4rah ini dalam Era Viking mereka (akhir abad ke-8 hingga ke-11 Masihi).

Tuntasnya, kata Viking diambil menjadi rujukan kepada kebudayaan orang Norse yang menetap di luar Scandinavia.

RUJUKAN:

Brink, Stefan (2008). “Who were the Vikings?”. In Brink, Stefan; Price, Neil (eds.). The Viking World. Routledge. pp. 4–10.

Holman, Catherine (2003). Historical Dictionary of the Vikings. Scarecrow Press. p. 1
Eldar Heide (2005). “Víking – ‘rower shifting’? An etymological contribution” (PDF). Arkiv för Nordisk Filologi. 120: 41–54.

Crowcroft, Robert; Cannon, John, eds. (2015). “Viking”. The Oxford Companion to British History (2 ed.). Oxford University Press.





from mdnursyazwi https://ift.tt/3pagpBS
via http://www.rssmix.com/
from Tumblr https://dearluce.tumblr.com/post/638015408890331136

No comments:

Post a Comment